Category: buku

Three Cups Of Tea

Buku Dulu-Dulu #2 | Three Cups Of Tea

Nukilan : Greg Morterson

 

“Kali pertama kita mengeteh, kamu adalah orang asing. Kali kedua kita mengeteh, kamu adalah tetamu kehormat kami. Dan kali ketiga kita mengeteh, kamu adalah saudara kami”

 

Penafian : Buku ni ada kontroversi, tetapi saya kongsi dahulu apa yang saya baca.  Nanti bila-bila ada masa kita masuk sedikit perihal kontroversi berkenaan.


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kita kembali dengan santai Buku Dulu-Dulu  . Ini bukanlah review buku, tetapi lebih kepada perkongsian santai saya terhadap buku-buku yang pernah saya baca suatu ketika dahulu

Ini buku kedua dalam genre ini setelah buku pertama iaitu Leaving Microsoft To Change The World.   Jadi untuk BDD #2 ini, buku yang dulu-dulu temani saya dalam komuter yang sesak ialah..Three Cups Of Tea. Tanpa membuang masa, mari kita lihat dahulu overview (yang masih berlegar dalam ingatan saya)

 

  1. Sekitar tahun 90’an, Encik Greg Mortenson dan kawan-kawan pergi trekking/hiking di kawasan pergunungan Pakistan/Afghanistan. Beliau terus memanjangkan trekking ke Karakoram, di mana terletaknya gunung kedua tertinggi di dunia, K2.
  2. Sewaktu  pulang, beliau terpisah dari kumpulan dan tersesat, sehinggalah pada masa macam hilang harapan, beliau sampai ke sebuah perkampungan bernama Khorpe. Di sini, beliau dialu-alukan untuk rehat dan rawat (R&R) oleh ketua kampung bernama Haji Ali.
  3. Haji Ali adalah seorang ketua yang penuh dengan kebijaksanaan (wisdom), dan antara sebilangan penduduk kampung yang ingin melihat anak-anak kampung maju dalam pelajaran, tetapi majoriti penduduk kampung masih konservatif, di mana perjalanan hidup seorang anak perempuan adalah berakhir dengan perkahwinan.
  4.  Encik Greg seorang jururawat di A.S, jadi dalam keadaan sedang pulih, beliau dapat khabar ada penduduk kampung yang terkena jangkitan penyakit. Dan beliau segera rawat dengan bekalan ubat yang terhad. Dari situ, beliau dapat kepercayaan penduduk kampung.
  5.  Encik Greg selamat pulang ke A.S, tetapi hati dan fikirannya masih di kampung Korphe, dan rasa ingin berbuat sesuatu untuk balas jasa Haji Ali.
  6. Encik Greg kumpul dana untuk bina sekolah di kampung Korphe, dan akhirnya kembali ke kampung berkenaan.
  7. Sekolah pun akhirnya dibina, walaupun dalam keadaan susah payah.

Takeaway
  • Nilai Kemanusiaan Sebagai Bahasa Universal

Encik Greg sebagai warga A.S, yang ingin membina sekolah bagi pendidikan kanak-kanak, di wilayah yang mana pandangan Muslim Konservatif masih menebal. Di sini berlakunya sedikit perbezaan nilai kehidupan seharian yang dimiliki Encik Greg di tempat asalnya A.S dengan penduduk di Karakoram, termasuk kampung Korphe. Jadi bagaimana nilai ini akhirnya dipertemukan  pada satu titik? Semuanya dengan memahami bahasa sejagat yang mudah difahami, iaitu nilai kemanusian.

Contoh termudah ialah Haji Ali, sang ketua kampung yang menyelamatkan nyawa Encik Greg seorang lelaki berlainan agama, bangsa dan adat resam yang tersesat di kawasan terasing Karakoram, dan Encik Greg yang merawat penduduk kampung yang terpencil ini dengan menawarkan rawatan percuma. Tanpa adanya rasa kemanusiaan, mungkin Encik Greg sudah terus dihantar pulang tanpa bertangguh. Atau jika  Encik Greg tidak ada rasa kemanusiaan, beliau sendiri boleh terus balik tidak memperdulikan penduduk kampung Korphe yang tidak sihat.  Saling memahami adalah kunci kepada projek pembangunan sekolah ini. Dan dalam buku TCOT ini, Haji Ali dan Encik Greg, kedua-duanya adalah simbiosis kesamaan nilai kemanusiaan sebagai bahasa universal.

 

  • Adab

Encik Greg sebagai orang muda yang bersemangat ingin siapkan sekolah cepat, hampir sahaja menimbulkan konflik dengan penduduk tempatan yang tenang itu indah. Ada seorang sahabat baru Encik Greg di Pakistan Utara melihat bagaimana Encik Greg berunding dan membeli bahan mentah dan perkakasan membina sekolah. Sahabat Encik Greg yang merupakan penduduk tempatan dan sedia maklum dengan adat resam masyarakat pergunungan Karakoram, hanya geleng kepala melihat budaya ‘take it or leave it’, ‘by hook or by crook’ dan semua yang seperti langsung tidak selari dengan praktis sehari-hari penduduk tempatan.

Maka Encik Greg pun diajak minum  oleh sahabat baru tadi di satu kedai makan, dan diterangkan bagaimana cara runding dan meniaga dengan penduduk tempatan. Dan selesai semua perkara teknikal, masuk kepada yang lebih penting, bagaimana untuk menjadi sebahagian dari penduduk tempatan. Di sini, Encik Greg buat pertama kali didedahkan kepada konsep ‘Three Cups Of Tea’. Cara bercakap, cara berpakaian, dan cara berunding dengan orang-orang tua yang jauh lebih berpengalaman. Walaupun saya rasa ilmu lebih kurang sama seperti kita orang kebanyakkan, adab yang diajar oleh Haji Ali kepada Encik Greg, sangat membantu Encik Greg ketika beliau meluaskan pembinaan sekolah-sekolah di utara Pakistan /Afghanistan. Ini mungkin saya kongsi nanti dalam buku kesinambungan TCOT, From Stones To School.


A Moment To Ponder

Saya senaraikan dua sahaja dahulu.

Membina sekolah independen memerlukan biaya yang bukan sedikit. Jadi Encik Greg dalam pencarian orang yang boleh menaja pembinaan sekolah ini, ditakdirkan bertemu dengan seorang ahli perniagaan bertaraf jutawan. Saya ingin kongsi sedikit tentang penaja projek Encik Greg ini. Beliau jutawan yang memiliki perusahaan elektrik/elektronik dan juga seorang perekacipta, menghasilan pelbagai produk yang dipatenkan. Jadi wang bukanlah masalah besar.

Jadi, ketika Encik Greg bertemu dengan beliau untuk jemput tajaan,penaja ini terus bersetuju. Kata beliau (seingat saya), beliau pernah trekking di Karakoram, dan dalam perjalanan trekking dan pulang, beliau  melihat sendiri bagaimana berbezanya kehidupan di pergunungan berbanding di tempat lain, khususnya dari segi ekonomi dan akses pendidikan. Penaja tersebut bersetuju untuk taja pembinaan sekolah Encik Greg, dengan syarat Encik Greg perlu menghantar gambar progress pembinaan sekolah berkenaan secara berkala kepada beliau.

Ketika sekolah tersebut menghadapi masalah bajet lari, Encik Greg dengan berat hati maklumkan kepada penaja. Penaja tersebut tanpa banyak soal terus keluarkan bajet tambahan dengan berkata “asalkan sekolah siap”

Masa penaja tersebut jatuh sakit dan masuk wad, Encik Greg berkesempatan ziarah sebentar sebelum kembali ke Karakoram, dan serahkan gambar progress sekolah yang sudah hampir siap. Penaja tersebut yang masih terlantar, terus menefon rakan-rakan sejutawannya dan berkata “dalam hidup korang, ada tak satu benda marbeles yang korang pernah buat. Aku ada, buat sekolah dekat gunung. Kau hado?”. Macam itulah lebih kurang. Tak lama kemudian penaja tersebut pun meninggal dunia, dan sekolah tersebut juga berjaya siap. Kiranya impin hidupnya sempat tercapai.

 


Ada satu part dalam buku ini, yang saya rasa menjadi antara penyebab kenapa Encik Greg ingin bina sekolah. Dalam keluarga besar Haji Ali, ada seorang perempuan yang sentiasa pastikan Encik Greg sihat kembali. Berat hati saya rasa beliau memang diminta oleh Haji Ali untuk memerhati kondisi semasa Encik Greg sepanjang tempoh pemulihan. Jadi ada kesempatan tertentu Encik Greg berbual sebentar dengan perempuan tadi.

 

Ketika Encik Greg sudah kembali sembuh dan hanya tunggu masa untuk pulang (kena tunggu helikopter datang rasanya), beliau sempat berbual dengan perempuan tadi. Dan bila ditanya nak jadi apa..yang ni saya tak berapa ingat. Antara cikgu atau doktor..tak ingat yang mana satu.  Cuma yang jadi halangan, di kawasan pergunungan, dekat mana nak belajar. Jadi mungkin..mungkinlah…itu salah satu sebab kenapa Encik Greg nak bina sekolah di situ.

 

Moment ‘heart to heart’ ni saya ingat sebab tak ramai orang kampung, termasuk dalam keluarga Haji Ali sendiri yang berkenan dengan cita-cita perempuan ini. Jadi bila orang berfikiran terbuka seperti Encik Greg datang, mungkin itu sahaja cara untuk perempuan ini bercerita tentang cita-cita dan impian. Mungkinlah..


Masa Encik Greg tinggalkan Kampung Korphe, majoriti orang kampung beranggapan beliau akan terus balik A.S dan tidak kembali dah. Hanya Haji Ali yang percaya Encik Greg akan kembali untuk kotakan janji bina sekolah. Dan seperti yang kita maklum, Encik Greg kembali..bersekali dengan lori bawa peralatan dan bahan untuk  bina sekolah. Semua orang terkejut. Yang kekal tenang hanya Haji Ali.

 “saya tahu kamu akan kembali anak muda”.

 

Facebooktwitter

Leaving Microsoft To Change The World

Buku Dulu-Dulu | Leaving Microsoft To Change The World
Oleh : John Wood

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Buku Dulu-Dulu adalah buku-buku yang dahulu banyak jadi peneman saya dalam perjalanan Kajang – Jalan Ampang. menaiki komuter dan LRT, dan juga Kajang-KL-Putrajaya, sekitar 2010 – pertengahan 2015. BDD ni bukanlah review buku, tetapi lebih kepada pemahaman saya tentang buku-buku tersebut. Semua buku masih berada (tersangkut) di Kajang, jadi saya cuba nak ingat semula apa yang saya faham mengenai buku-buku berkenaan tanpa membaca semula di internet, dan berkongsi secara ringkas, mana tahu ada manfaat.

Kita mula dengan buku yang masih berada dalam 10 Terbaik Carta Buku saya. Leaving Microsoft To Change The World.

**************

Secara sepintas lalu, LMTCTW adalah buku berkisar tentang

1) En. John Wood, seorang pengurus kanan yang bekerja dengan Microsoft. Workaholic.
2) Penat bekerja, ambil cuti panjang tiga minggu untuk trekking di pergunungan Himalaya.
3) Singgah di satu sekolah di pergunungan tersebut, dan terusik hati melihat keadaan perpustakaan
4) Balik ke A.S, dan rasa ingin lakukan sesuatu. Beliau mulakan dengan email semua kawan-kawan
Untuk mohon sumbangan buku.
5) Jiwa makin ke arah untuk selesaikan , tetapi kerja semakin banyak. Beliau akhirnya buat keputusan untuk berhenti di Microsoft dan kejar impiannya.

**************

Bab Menarik

Buku ini kalau kita selak dari muka awal hingga habis, saya rasa tidak jauh berbeza dengan buku-buku lain yang sama tema. Keputusan En. John berhenti kerja untuk kejar cita-cita, bukanlah sesuatu begitu membebankan kepala. Ramai juga orang yang alami pengalaman yang sama. Bila kita hendak membuat keputusan-keputusan penting dalam hidup, tiada masalah sangat jika hanya melibatkan kita seorang sahaja. Yang menjadi sedikit masalah, jika apa yang kita (bakal) putuskan, akan turut berita kesan pada orang lain.

Dalam buku LMTCTW ini, En. John dengan teman wanitanya.
TW En. John ini seorang wanita berpendidikan tinggi, pencapaian cemerlang, kuasai banyak bahasa. High-achiever mudah cerita. Beliau seorang expat dan hidup dalam lingkungan socialite/high-society. En. John sangat faham dengan karakter TW beliau, dan memberitahu tentang keputusannya adalah sangat sukar. Yang mana paling kurang berisiko, berkias secara berterusan sampai beliau faham? Atau terus terang lebih baik?.

Jadi pada suatu hari, sambil makan malam, En. John menyampaikan hasrat beliau untuk berhenti kerja dan fokus dengan visi hidup baru beliau. Sebagai seorang terpelajar, TW En. John tanya dahulu, “saya tak kisah kalau awak nak teruskan dengan impian awak, tapi kalau tak berhenti kerja tak bolehkah?” .

Namun mungkin En. John sudah bulat tekadnya, dan sudah tidak nampak cara lain. Tiada pilihan lain. Kalau ingin teruskan, sesuatu mungkin terpaksa dikorbankan. Dalam situasi ini, En. John juga kekal tenang, jadi masih curhat dengan TW beliau untuk duga apa yang bermain di fikirannya. Jelas, TW beliau tak boleh ikut kehidupan En.John, kerana masih ingin kekalkan gaya kehdupan sedia ada. Jadi itu kira makan malam terakhir mereka dan selepas itu masing-masing ikut jalan sendiri.

**************

Takeaway

Dalam kejar cita-cita dan impian, kecil atau besar, ada perkara-perkara tertentu yang terpaksa dikorbankan/lepaskan. En. John korbankan karier yang cerah dalam Microsoft untuk kejar impian beliau, tidak sesukar membuat keputusan untuk membawa haluan yang berbeza dengan TW beliau. Bolehkan kita salahkan TW En.John yang pilih untuk kekal dengan kehidupan sedia ada? tak boleh sebenarnya. Dalam situasi mereka, tiada siapa yang salah. Dua-dua betul. Begitulah kehidupan nyata. Bila ingat balik, saya sebenarnya teringat salah satu rangkap lagu Yang Bertakhta Akhirnya (M.Nasir)..

Dan kita terpaksa memilih
Jalan yang telah ditentukan
Dan kita sama-sama dewasa
Menghadapinya

**************

Sekian perkongsian Buku Dulu-Dulu. Buku LMTCTW ini ada sambungan, Creating Room To Read. Tapi ianya lebih bersifat teknikal. Jadi saya bypass, dan nanti kita ke buku yang lain pula.

Sekian perkongsian 😊

 

Facebooktwitter