Three Cups Of Tea

Buku Dulu-Dulu #2 | Three Cups Of Tea

Nukilan : Greg Morterson

 

“Kali pertama kita mengeteh, kamu adalah orang asing. Kali kedua kita mengeteh, kamu adalah tetamu kehormat kami. Dan kali ketiga kita mengeteh, kamu adalah saudara kami”

 

Penafian : Buku ni ada kontroversi, tetapi saya kongsi dahulu apa yang saya baca.  Nanti bila-bila ada masa kita masuk sedikit perihal kontroversi berkenaan.


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kita kembali dengan santai Buku Dulu-Dulu  . Ini bukanlah review buku, tetapi lebih kepada perkongsian santai saya terhadap buku-buku yang pernah saya baca suatu ketika dahulu

Ini buku kedua dalam genre ini setelah buku pertama iaitu Leaving Microsoft To Change The World.   Jadi untuk BDD #2 ini, buku yang dulu-dulu temani saya dalam komuter yang sesak ialah..Three Cups Of Tea. Tanpa membuang masa, mari kita lihat dahulu overview (yang masih berlegar dalam ingatan saya)

 

  1. Sekitar tahun 90’an, Encik Greg Mortenson dan kawan-kawan pergi trekking/hiking di kawasan pergunungan Pakistan/Afghanistan. Beliau terus memanjangkan trekking ke Karakoram, di mana terletaknya gunung kedua tertinggi di dunia, K2.
  2. Sewaktu  pulang, beliau terpisah dari kumpulan dan tersesat, sehinggalah pada masa macam hilang harapan, beliau sampai ke sebuah perkampungan bernama Khorpe. Di sini, beliau dialu-alukan untuk rehat dan rawat (R&R) oleh ketua kampung bernama Haji Ali.
  3. Haji Ali adalah seorang ketua yang penuh dengan kebijaksanaan (wisdom), dan antara sebilangan penduduk kampung yang ingin melihat anak-anak kampung maju dalam pelajaran, tetapi majoriti penduduk kampung masih konservatif, di mana perjalanan hidup seorang anak perempuan adalah berakhir dengan perkahwinan.
  4.  Encik Greg seorang jururawat di A.S, jadi dalam keadaan sedang pulih, beliau dapat khabar ada penduduk kampung yang terkena jangkitan penyakit. Dan beliau segera rawat dengan bekalan ubat yang terhad. Dari situ, beliau dapat kepercayaan penduduk kampung.
  5.  Encik Greg selamat pulang ke A.S, tetapi hati dan fikirannya masih di kampung Korphe, dan rasa ingin berbuat sesuatu untuk balas jasa Haji Ali.
  6. Encik Greg kumpul dana untuk bina sekolah di kampung Korphe, dan akhirnya kembali ke kampung berkenaan.
  7. Sekolah pun akhirnya dibina, walaupun dalam keadaan susah payah.

Takeaway
  • Nilai Kemanusiaan Sebagai Bahasa Universal

Encik Greg sebagai warga A.S, yang ingin membina sekolah bagi pendidikan kanak-kanak, di wilayah yang mana pandangan Muslim Konservatif masih menebal. Di sini berlakunya sedikit perbezaan nilai kehidupan seharian yang dimiliki Encik Greg di tempat asalnya A.S dengan penduduk di Karakoram, termasuk kampung Korphe. Jadi bagaimana nilai ini akhirnya dipertemukan  pada satu titik? Semuanya dengan memahami bahasa sejagat yang mudah difahami, iaitu nilai kemanusian.

Contoh termudah ialah Haji Ali, sang ketua kampung yang menyelamatkan nyawa Encik Greg seorang lelaki berlainan agama, bangsa dan adat resam yang tersesat di kawasan terasing Karakoram, dan Encik Greg yang merawat penduduk kampung yang terpencil ini dengan menawarkan rawatan percuma. Tanpa adanya rasa kemanusiaan, mungkin Encik Greg sudah terus dihantar pulang tanpa bertangguh. Atau jika  Encik Greg tidak ada rasa kemanusiaan, beliau sendiri boleh terus balik tidak memperdulikan penduduk kampung Korphe yang tidak sihat.  Saling memahami adalah kunci kepada projek pembangunan sekolah ini. Dan dalam buku TCOT ini, Haji Ali dan Encik Greg, kedua-duanya adalah simbiosis kesamaan nilai kemanusiaan sebagai bahasa universal.

 

  • Adab

Encik Greg sebagai orang muda yang bersemangat ingin siapkan sekolah cepat, hampir sahaja menimbulkan konflik dengan penduduk tempatan yang tenang itu indah. Ada seorang sahabat baru Encik Greg di Pakistan Utara melihat bagaimana Encik Greg berunding dan membeli bahan mentah dan perkakasan membina sekolah. Sahabat Encik Greg yang merupakan penduduk tempatan dan sedia maklum dengan adat resam masyarakat pergunungan Karakoram, hanya geleng kepala melihat budaya ‘take it or leave it’, ‘by hook or by crook’ dan semua yang seperti langsung tidak selari dengan praktis sehari-hari penduduk tempatan.

Maka Encik Greg pun diajak minum  oleh sahabat baru tadi di satu kedai makan, dan diterangkan bagaimana cara runding dan meniaga dengan penduduk tempatan. Dan selesai semua perkara teknikal, masuk kepada yang lebih penting, bagaimana untuk menjadi sebahagian dari penduduk tempatan. Di sini, Encik Greg buat pertama kali didedahkan kepada konsep ‘Three Cups Of Tea’. Cara bercakap, cara berpakaian, dan cara berunding dengan orang-orang tua yang jauh lebih berpengalaman. Walaupun saya rasa ilmu lebih kurang sama seperti kita orang kebanyakkan, adab yang diajar oleh Haji Ali kepada Encik Greg, sangat membantu Encik Greg ketika beliau meluaskan pembinaan sekolah-sekolah di utara Pakistan /Afghanistan. Ini mungkin saya kongsi nanti dalam buku kesinambungan TCOT, From Stones To School.


A Moment To Ponder

Saya senaraikan dua sahaja dahulu.

Membina sekolah independen memerlukan biaya yang bukan sedikit. Jadi Encik Greg dalam pencarian orang yang boleh menaja pembinaan sekolah ini, ditakdirkan bertemu dengan seorang ahli perniagaan bertaraf jutawan. Saya ingin kongsi sedikit tentang penaja projek Encik Greg ini. Beliau jutawan yang memiliki perusahaan elektrik/elektronik dan juga seorang perekacipta, menghasilan pelbagai produk yang dipatenkan. Jadi wang bukanlah masalah besar.

Jadi, ketika Encik Greg bertemu dengan beliau untuk jemput tajaan,penaja ini terus bersetuju. Kata beliau (seingat saya), beliau pernah trekking di Karakoram, dan dalam perjalanan trekking dan pulang, beliau  melihat sendiri bagaimana berbezanya kehidupan di pergunungan berbanding di tempat lain, khususnya dari segi ekonomi dan akses pendidikan. Penaja tersebut bersetuju untuk taja pembinaan sekolah Encik Greg, dengan syarat Encik Greg perlu menghantar gambar progress pembinaan sekolah berkenaan secara berkala kepada beliau.

Ketika sekolah tersebut menghadapi masalah bajet lari, Encik Greg dengan berat hati maklumkan kepada penaja. Penaja tersebut tanpa banyak soal terus keluarkan bajet tambahan dengan berkata “asalkan sekolah siap”

Masa penaja tersebut jatuh sakit dan masuk wad, Encik Greg berkesempatan ziarah sebentar sebelum kembali ke Karakoram, dan serahkan gambar progress sekolah yang sudah hampir siap. Penaja tersebut yang masih terlantar, terus menefon rakan-rakan sejutawannya dan berkata “dalam hidup korang, ada tak satu benda marbeles yang korang pernah buat. Aku ada, buat sekolah dekat gunung. Kau hado?”. Macam itulah lebih kurang. Tak lama kemudian penaja tersebut pun meninggal dunia, dan sekolah tersebut juga berjaya siap. Kiranya impin hidupnya sempat tercapai.

 


Ada satu part dalam buku ini, yang saya rasa menjadi antara penyebab kenapa Encik Greg ingin bina sekolah. Dalam keluarga besar Haji Ali, ada seorang perempuan yang sentiasa pastikan Encik Greg sihat kembali. Berat hati saya rasa beliau memang diminta oleh Haji Ali untuk memerhati kondisi semasa Encik Greg sepanjang tempoh pemulihan. Jadi ada kesempatan tertentu Encik Greg berbual sebentar dengan perempuan tadi.

 

Ketika Encik Greg sudah kembali sembuh dan hanya tunggu masa untuk pulang (kena tunggu helikopter datang rasanya), beliau sempat berbual dengan perempuan tadi. Dan bila ditanya nak jadi apa..yang ni saya tak berapa ingat. Antara cikgu atau doktor..tak ingat yang mana satu.  Cuma yang jadi halangan, di kawasan pergunungan, dekat mana nak belajar. Jadi mungkin..mungkinlah…itu salah satu sebab kenapa Encik Greg nak bina sekolah di situ.

 

Moment ‘heart to heart’ ni saya ingat sebab tak ramai orang kampung, termasuk dalam keluarga Haji Ali sendiri yang berkenan dengan cita-cita perempuan ini. Jadi bila orang berfikiran terbuka seperti Encik Greg datang, mungkin itu sahaja cara untuk perempuan ini bercerita tentang cita-cita dan impian. Mungkinlah..


Masa Encik Greg tinggalkan Kampung Korphe, majoriti orang kampung beranggapan beliau akan terus balik A.S dan tidak kembali dah. Hanya Haji Ali yang percaya Encik Greg akan kembali untuk kotakan janji bina sekolah. Dan seperti yang kita maklum, Encik Greg kembali..bersekali dengan lori bawa peralatan dan bahan untuk  bina sekolah. Semua orang terkejut. Yang kekal tenang hanya Haji Ali.

 “saya tahu kamu akan kembali anak muda”.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply